Jalur Gemilang
Berita :
TNB Ringankan Beban Keluarga, 100 Pelajar Cukai Terima Manfaat Program Ceria  Ke Sekolah 2027
TNB Ringankan Beban Keluarga, 100 Pelajar Cukai Terima Manfaat Program Ceria Ke Sekolah 2027
Ezani Razali
3 jam yang lepas
89

KEMAMAN, 15 November 2026 – Seramai 100 orang pelajar daripada tiga buah sekolah di kawasan Cukai menerima manfaat menerusi Program Ceria Ke Sekolah TNB Tahun 2027 yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini.

Program berkenaan yang berlangsung di pekarangan Masjid As-Syakirin, Kuala Kemaman melibatkan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kemaman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuala Kemaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat yang merasmikan program tersebut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada TNB atas inisiatif murni yang mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan syarikat itu dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam aspek kebajikan dan pendidikan masyarakat.

Menurut beliau, sumbangan kelengkapan persekolahan yang diberikan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, malah menjadi suntikan semangat kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih berkeyakinan.

“Usaha seperti ini amat bermakna kepada keluarga yang memerlukan. Ia bukan sekadar bantuan kelengkapan persekolahan, tetapi juga tanda sokongan dan keprihatinan terhadap masa depan anak-anak kita.

“Syabas dan tahniah kepada TNB kerana terus memainkan peranan sebagai rakan strategik komuniti yang sentiasa dekat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap agar inisiatif seumpama itu dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan pendidikan di kawasan Cukai.

Program Ceria Ke Sekolah TNB merupakan antara usaha tanggungjawab sosial korporat yang memberi tumpuan kepada kebajikan pelajar dan sokongan pendidikan, sekali gus membantu menyediakan persediaan lebih baik bagi menghadapi sesi persekolahan baharu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan