KUALA TERENGGANU, 16 September – Mana-mana vendor atau pihak yang mengiklankan program tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan bakal berdepan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membuat hebahan atau promosi sebelum mendapat kelulusan.
“Kita telah arahkan mana-mana jabatan dan penganjur untuk patuh.
“Kita telah maklumkan supaya jangan buat sebarang iklan sebelum mendapat kelulusan,” katanya ketika dihubungi.
Lizan berkata, sebarang iklan atau bahan promosi berkaitan program hiburan yang disebarkan tanpa kelulusan akan diarahkan diturunkan serta-merta.
Malah katanya, tindakan membuat promosi lebih awal juga boleh menyebabkan permohonan kelulusan sesuatu program ditolak.
“Unit Penguatkuasaan dan Unit Perlesenan akan memantau serta mengeluarkan kompaun dan menurunkan iklan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, Unit Perlesenan akan memastikan setiap iklan yang dipaparkan telah mendapat kelulusan terlebih dahulu, manakala Unit Penguatkuasaan akan menjalankan pemantauan secara berterusan.
Langkah itu katanya bagi mengelakkan mana-mana penganjur atau vendor mengambil kesempatan menyebarkan bahan promosi berkaitan aktiviti hiburan sebelum kelulusan diperoleh.
“Unit Perlesenan akan sentiasa memastikan semua iklan yang dipaparkan telah mendapat kelulusan,” katanya.
Dalam pada itu, Lizan berkata tindakan terhadap pihak yang mengiklankan hiburan tanpa kelulusan boleh diambil mengikut Seksyen 7 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.
Menurut peruntukan itu, mengiklankan atau menyebarkan apa-apa hiburan yang hendak diadakan di mana-mana tempat tanpa kelulusan merupakan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan penyitaan terhadap apa-apa iklan atau barangan yang berkaitan dengan kesalahan berkenaan juga boleh dibuat, selain kompaun sehingga RM5,000 bagi kesalahan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris menjelaskan poster berkaitan karnival pantai yang sebelum ini tersebar di media sosial tidak pernah dikemukakan untuk permohonan permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Menurutnya, poster berkenaan dibuat dan disebarkan sendiri oleh pihak vendor tanpa melalui proses kelulusan yang ditetapkan.
Beliau berkata, susulan perkara itu, pihak berkenaan telah diarahkan menurunkan poster tersebut dan ia kini tidak lagi digunakan bagi tujuan promosi.