KUALA TERENGGANU, 23 September - Pelumba cilik berusia 12 tahun, Wan Aryan Mikhail, disifatkan sebagai pelapis baharu yang bakal mengikut jejak langkah atlet permotoran ikonik negeri, Hakim Danish dan Qabil Irfan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, meluahkan rasa bangga atas pencapaian anak muda berkenaan.

"Hari ini saya sangat gembira dan bertuah kerana dapat bersama-sama dengan anakanda Mikhail yang datang berkunjung ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Batu Buruk.
"Insya-Allah, kita Negeri Terengganu akan melihat seorang lagi bakal juara," katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan bersama pelumba tersebut, sebentar tadi.
Kejayaan pembalap muda itu meraih podium ketiga bagi kategori 160cc dalam kejohanan bertaraf antarabangsa Ohvale Guangzhou Supercup 2026 pada Ogos serta Kejuaraan MotoMini Malaysia 2026 baru-baru ini menambah keyakinan Dr. Muhammad Khalil terhadap prestasi Mikhail.
"Sukan permotoran hari ini beliau telah memperoleh banyak piala-piala dan insya-Allah dari segi jalan itu akan bawa kepada pertandingan seterusnya di peringkat-peringkat yang seterusnya yang akan membawa dan menjulang nama Negeri Terengganu dan tanah air kita, Malaysia," ujarnya.

"Insya-Allah saya doakan mudah-mudahan anakanda dapat meneruskan sukan permotoran ini dan sentiasa dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.
"Saya juga pesan tadi kepada Mikhail supaya kita mesti menjaga dan memelihara jati diri kita, di mana saja kita berada tanggungjawab kita sebagai seorang Islam mestilah dijaga dan kita tidak larut dengan keadaan-keadaan di sekeliling kita.
"Anugerah yang Allah Ta'ala kurniakan kepada kita, kita manfaatkan," pesannya kepada pelapis sukan permotoran negeri itu.
Menurut bapa Mikhail, Wan Mohd Khaidzir Wan Mohd yang berasal Batu Buruk, anaknya mula menjinakkan diri dalam sukan Moto Mini seawal usia lima tahun sebelum memasuki pentas kompetitif pada umur lapan tahun.
Mikhail juga dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Azlan Abdul Rahman, yang juga merupakan bapa dan jurulatih kepada pelumba sensasi negara, Qabil Irfan.

"Kalau boleh dia nak main sehingga ke peringkat ke Motor 3, Motor 2 dan Motor GP.
"Dia nak ikut macam abang angkat dia, Hakim Danish yang sekarang beraksi di World Series di kategori Motor 3.
"Daripada situlah, harap dia pun mempunyai dorongan yang sama macam Qabil Irfan dan Hakim Danish," katanya.
Khaidzir turut merakamkan syukur dan terima kasih keatas sokongan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada pembinaan karier anaknya, khususnya dari segi penyediaan fasiliti latihan.
Dalam masa sama, Aryan Mikhail menyatakan hasrat untuk terus mengekalkan momentum prestasinya bagi membalas sokongan yang telah diberikan orang sekeliling terhadap minatnya.
"Saya rasa saya nak buat yang terbaik biar boleh membanggakan bapa, ibu dan keluarga saya," ujar Mikhail ketika berkongsi pengalaman kali pertamanya ke luar negara semasa kejuaraan Ohvale Guangzhou Supercup 2026 berlangsung.