Jalur Gemilang
Berita :
Warisan Pusaka : Wira, Wirawati Jabi Tamat Berguru Ilmu Persilatan
Warisan Pusaka : Wira, Wirawati Jabi Tamat Berguru Ilmu Persilatan
Hidayah Azlin
5 jam yang lepas
69

SETIU, 20 September – Gelanggang Silat Kampung Tasek Nibong di sini gamat dengan semangat pahlawan muda menerusi penganjuran Majlis Pelima Silat yang menghimpunkan barisan pesilat tempatan, semalam.

Perhimpunan berkenaan meraikan kejayaan wira dan wirawati dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang berjaya menyempurnakan latihan serta ilmu persilatan selama tiga bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, YB Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, beliau kagum melihat kesungguhan dan ketangkasan para pesilat muda mempamerkan bunga dan buah silat masing-masing sepanjang program berlangsung.

"Persembahan wira dan wirawati Jabi hari ini sememangnya hebat. Bila dengar paluan gendang, terasa makin bersemangat dan teruja melihat aksi mereka di gelanggang," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, majlis berkenaan turut menjadi medan pengerat silaturahim apabila mengumpulkan pengamal seni silat, guru-guru, dan anak murid dari pelbagai gelanggang di sekitar Daerah Besut serta Setiu.

Mengulas lanjut, Dr Azman menekankan pentingnya penglibatan generasi muda dalam memelihara warisan budaya bangsa agar tidak lenyap ditelan arus pemodenan zaman.

"Syabas dan tahniah kepada semua jawatankuasa, guru silat, dan anak-anak murid yang komited menjayakan majlis ini.

"Inisiatif mempertahankan seni warisan pusaka bangsa ini amat bermakna. Jika bukan kita sendiri yang menghargai dan memeliharanya, siapa lagi," katanya.

Acara persilatan itu diakhiri dengan persembahan silat tradisi pelbagai aliran sebagai simbolik keharmonian dan pengerat ukhuwah antara gelanggang.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan