Jalur Gemilang
Berita :
Wujudkan Laluan Sejarah Pulau Duyong Sempena Tahun Melawat Terengganu 2027
Wujudkan Laluan Sejarah Pulau Duyong Sempena Tahun Melawat Terengganu 2027
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
161

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Terengganu dicadangkan agar mewujudkan laluan sejarah Pulau Duyong menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid berkata adalah menjadi impian agar perkara itu dapat direalisasikan dengan melibatkan tempat-tempat penuh bersejarah melibatkan Kota Duyong, tempat pembuatan perahu tradisional dan replika perahu.

"Bukit Tunggal memohon agar pihak Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu dapat melawat dan melihat dengan lebih dekat lagi agar cadangan laluan sejarah di Pulau Duyong ini dapat direalisasikan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.

"Konsep utamanya ialah untuk menjadikan Pulau Duyong bukan sekadar tempat persinggahan pelancong, tetapi sebuah destinasi yang membolehkan pengunjung mengenali sejarah Pulau Duyong dan mengalami sendiri warisan tempatan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Enakmen Perbekalan (Belanjawan)2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata cadangan tersebut akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu bagi penyelarasan promosi, pemasaran dan produk pelancongan.

"Juga turut melibatkan kerjasama dengan Lembaga Muzium Negeri Terengganu untuk pengesahan fakta sejarah dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi kemudahan awam dan kebersihan serta komuniti Pulau Duyong sebagai pemandu pelancong, pengusaha bengkel dan pengusaha produk kraf,"katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan