Jalur Gemilang
Berita :
YB Cakna Komuniti 2.0 Semarak Semangat Kebersamaan di DUN Kijal
YB Cakna Komuniti 2.0 Semarak Semangat Kebersamaan di DUN Kijal
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
13 jam yang lepas
152

KEMAMAN, 13 September – Program YB Cakna Komuniti (YBCK) 2.0 menjadi wadah menghimpunkan masyarakat setempat menerusi aktiviti riadah, sukan dan kemasyarakatan, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti DUN Kijal.

Program tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih daripada 500 pengunjung hadir menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Razali Idris berkata, pelaksanaan program berkenaan selari dengan kriteria yang digunakan dalam mengukur tahap kebahagiaan negeri di seluruh negara.

Menurutnya, pengiktirafan negeri paling bahagia bukan sesuatu yang ditentukan sendiri, sebaliknya berdasarkan penilaian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi 13 kriteria merangkumi aspek keagamaan, keluarga, pendidikan dan beberapa elemen kesejahteraan masyarakat.



“Negeri paling bahagia bukan kita minta sendiri, sebaliknya daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan diukur menerusi 13 kriteria, termasuklah keagamaan, keluarga dan pendidikan.

“Program kita pada pagi ini termasuk dalam kriteria-kriteria negeri bahagia di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Program YB Cakna Komuniti (YBCK) 2.0 di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Seri Bandi, di sini, semalam.

Program yang berlangsung dari pukul 6 pagi hingga 4 petang itu menawarkan 18 acara menarik melibatkan penduduk di beberapa zon dalam DUN Kijal, antaranya Bandar Seri Bandi, Padang Kubu, Sungai Mas dan Lubuk Lesung.

Antara pengisian utama ialah Kuliah Subuh, Brisk Walk, Sepak Penalti, Shoot Bola Jaring, Basikal Berhias, Tarik Tali dan Memanah selain pelbagai aktiviti yang disediakan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat setempat.



Acara Brisk Walk mencuri perhatian apabila disertai hampir 500 peserta dari seluruh DUN Kijal, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap program berasaskan gaya hidup sihat dan interaksi komuniti.

Beliau turut memaklumkan tiga daerah di Terengganu yang mencatat kedudukan sebagai daerah paling bahagia pada tahun 2026 ialah Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Katanya, pencapaian tersebut memperlihatkan bahawa elemen kesejahteraan masyarakat perlu diperkukuh menerusi penglibatan komuniti dalam program rakyat.

Program YBCK 2.0 dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kijal dengan kerjasama JPKK Kampung Seri Bandi, Felcra Seri Bandi, Sungai Ibok, Padang Kubu, Pasir Mas dan Lubuk Lesung.

Program tersebut meneruskan kesinambungan program YB Cakna Komuniti 1.0 yang sebelum ini diadakan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Bukit Kuang pada bulan lalu.

Penganjuran secara berterusan itu mencerminkan komitmen Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kijal dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih inklusif, selain menyediakan ruang kepada penduduk untuk beriadah, berinteraksi dan mengeratkan hubungan antara komuniti.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan