• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Industri Madu Terengganu Perlu Inovasi

Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berucap pada pemberita selepas melawat sebuah gedung madu di Hat Yai.
Oleh: Haji Sazali Mohd Noor

HAT YAI, 29 Oktober - Industri madu di Negeri Terengganu perlu ditingkatkan sehingga mencapai tahap sebagaimana di negara jiran, Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia telah berada jauh di hadapan berbanding perusahaan yang sama di Negeri Terengganu.

Menurutnya, di Thailand, madu telah dimajukan sehingga kepada pengeluaran berskala besar, menjadi penghasilan dan meningkatkan industri pelancongan.

“Berkenaan dengan  industri madu ini, apa yang dibuat oleh Thailand adalah lebih ke depan.

"Kalau kita hanya bela (pelihara) lebah itu untuk dapatkan madu sahaja, tetapi dia dah buat sampai ke produk akhir, industri hiliran dia (dengan) menghasilkan beberapa produk kesihatan, bukan sekadar hanya makan madu macam kita fahami atau lazimi di tempat kita,” jelasnya.

Mohd Norkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata demikian selepas melawat sebuah  gedung madu di sini, semalam.

Katanya, beliau dimaklumkan terdapat  lima tempat di seluruh Thailand yang menjalankan industri tersebut secara besar-besaran.


Oleh itu, beliau menyarankan kepada pihak yang terbabit dengan pengeluaran madu, termasuk Kelulut agar menjalankan kajian yang dapat memajukan industri tersebut.

“Dalam industri madu ini, di peringkat kita mungkin madu Lebah dah menurun dan sekarang ini popular dengan madu Kelulut.

“Kita kena (adakan) kerjasama dengan  unversiti-universiti  yang buat penyelidikan  yang boleh buat (hasilkan) produk berasaskan madu Kelulut mahupun madu Lebah,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar dilakukan inovasi dalam pengeluaran madu agar pelbagai produk dapat dihasilkan.

“Kalau di Terengganu terkenal dengan madu Kelulut, sekarang sepatutya kita ‘advance’ (lebih maju), banyak lagi (yang) kita boleh buat.

“Contohnya (seperti penghasilan) gula-gula madu dan madu (Lebah serta Kelulut) dibela mengikut  tanaman (sekitarnya),” kata beliau.

Tambahnya, beliau telah berbincang dengan pengusaha industri herba termasuk tanaman ‘Belalai Gajah’ agar turut memelihara Lebah dan Kelulut di dalam ladangnya.

“Yang nak tanam herba, macam ’Belalai Gajah’, apabila ditanam, di bawah itu boleh letak dan bela Lebah ataupun Kelulut.

“Secara tidak langsung  Lebah dah (akan) makan madu Belalai Gajah dan ubat kencing manis itu (terdapat) dalam madu itu (yang dihasilkan) dah ada terkandung benda (penawar) itu.

“Itu salah satu daripada inovasi kita selain daripada kita keluarkan (pelbagai) produk (kesihatan) seperti dalam penerangan kita tadi,” kata beliau lagi.

Tag: