• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Inisiatif UTC Terbaik Di Dunia


Mohd Najib menyerahkan Mykid dan sijil kelahiran kepada pengunjung yang mendapatkan perkhidmatan UTC sempena perasmian UTC  di Paya Bunga Square. Foto oleh Harish fadzillah Abu Kassim


Tiada mana-mana negara di dunia termasuk negara maju yang mampu melakukan inisiatif UTC (Pusat Transformasi Bandar) ini kerana mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti, pantas dan selesa kepada rakyat di bawah satu bumbung, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang menjadi tumpuan ramai pengguna termasuk membuat pasport antarabangsa apabila prosesnya hanya mengambil masa kira-kira satu jam berbanding perkhidmatan serupa di negara maju lain yang mungkin memakan masa sehingga dua minggu untuk siap.


“Ada satu cerita, cerita benar yang berlaku baru-baru ini di mana sebuah keluarga hendak ke luar negara apabila sampai di airport, anaknya sedar bahawa pasport mak dia hanya tinggal seminggu sahaja lagi akan luput tarikh laku pasport.Sudah sampai di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) hendak naik kapal terbang, dalam masa tidak lama lagi, dia dalam keadaan cemas tetapi dia teringat kepada UTC di Pudu Raya (Pudu Sentral)..dia berkejar ke Pudu (Sentral)  dan dia dapat memperbaharui pasport serta berkejar balik ke KLIA.

“Banyak lagi cerita dan kisah-kisah yang memberangsangkan, kalu kita pandang sekali lalu jika kita berurusan hendak bayar cukai tanah, kita boleh bayar cukai tanah, kalau buat Mykad boleh buat dalam masa sejam,  jika hilang pendaftaran boleh selasai 24 jam, sambil menunggu jika gigi sakit boleh masuk ke Klinik Pergigian 1Malaysia, bayar RM1 sahaja ..Kemudahan alatan di situ saya jamin adalah terkini bukan menggunakan alatan barangan terpakai. Jadi tidak rasa sakit hendak cabut gigi di UTC, bayar RM1 sahaja. Peniaga juga beruntung kerana putaran jumlah pengunjung yang semakin rancak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu, di Paya Bunga Square, Jalan Masjid Abidin, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong.


Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan calon Barisan Nasional Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu.

Mohd Najib berkata, kejayaan inisiatif UTC menyebabkan ramai pengunjung dari luar negara begitu terpegun dan mahu mengetahui kaedah pelaksanaan kemudahan yang disediakan kerajaan itu.

Tambah beliau lagi, sejak dilaksanakan pada 2012 sehingga 2016, seramai 61 juta rakyat di negara ini mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan 30 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, badan berkanun serta swasta sepanjang tujuh hari seminggu yang terdapat di 21 UTC seluruh negara.

Sementara di Terengganu, seramai 1,167,676 sudah mendapat manfaat di UTC sejak dibuka pada 27 Jun 2016 sehingga Mac tahun ini. Jumlah pengunjung meningkat daripada 306,000 (2016) kepada 6,750,000 (2017) dan sepanjang suku pertama tahun ini pula merekodkan seramai 186,000 pengunjung di UTC Terengganu.


“World Bank dan juga Badan Commonwealth serta peringkat Asian juga telah membuat peninjauan dan mereka semua kata bahawa mereka beri markah yang begitu tinggi kepada perkhidmatan UTC yang dijalankan oleh kerajaan kita,” kata beliau lagi.

Menurutnya,  inisiatif UTC juga sebagai kayu ukur mutlak yang menepati slogan yang diperkenalkan sewaktu  beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri iaitu, `rakyat mesti didahulukan, pencapaian diutamakan’, maka UTC benar-benar berteraskan rakyat.


Tag: