• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Insiden Gaduh : KESA FC Digugurkan Daripada 'Terengganu Football League'

KUALA NERUS, 16 Januari - Pasukan KESA FC yang terlibat dalam insiden pergaduhan pada perlawanan menentang NAG FC minggu lalu, digugurkan daripada Liga Terengganu Football League (TFL) 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, hasil mesyuarat kelolaan Jawatankuasa Tatatertib TFL yang disampaikan kepadanya semalam memutuskan pasukan KESA FC didapati bersalah atas kecuaian mengawal pemain dan pegawainya.

"Apa yang saya boleh kongsikan, setelah ambil kira dan merujuk kepada pegawai-pegawai perlawanan, video dan meneliti peraturan TFL 2023, perkara 30.5 membabitkan perlakuan ganas, perlakuan tidak tertib pemain pegawai dan penonton, maka kita dapati KESA FC gagal mengawal pemain atau pegawai daripada melakukan tindakan ganas sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada beberapa pemain dan pegawai pasukan lawan.

"Hal ini juga telah diambil tindakan serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Terengganu dan diklasifikasikan di bawah seksyen 147 kanun keseksaan.

"Untuk mengelakkan perkara tersebut berulang dalam kejohanan ini, pihak jawatankuasa TFL bersetuju secara sebulat suara mengenakan hukuman kesalahan kepada KESA FC. Mereka digantung dan terkeluar daripada saingan liga TFL berkuatkuasa tarikh surat dikeluarkan berdasarkan peruntukan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Daerah Kuala Nerus di Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, susulan keputusan tersebut semua perlawanan melibatkan KESA FC tidak akan diambil kira serta perubahan kedudukan carta liga adalah tanpa melibatkan perlawanan KESA FC.

"Pihak persatuan menyokong penuh keputusan yang dicadangkan dan kita harap ia menjadi satu pengajaran penting untuk semua pasukan yang terlibat dalam mana-mana acara pertandingan bola sepak di negeri Terengganu.

"Kita tidak campur tangan dalam keputusan ini kerana mereka (TFL) sudah ada peraturan serta sudah dibuktikan, jadi saya menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa tatatertib TFL untuk menentukan hukuman sewajarnya dan hukumannya telah ditentukan," katanya.

Tambahnya, perlawanan lain bagi saingan liga TFL 2023 yang berbaki satu perlawanan akan berlangsung seperti biasa.

 


Tag: