• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

'Insinerator' Atasi Masalah Sampah Di Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Kerajaan negeri akan membina insinerator dalam masa terdekat sebagai langkah mengatasi isu longgokan sampah yang menghantui penduduk Pulau Redang.

Kaedah ini membolehkan sampah-sarap yang diproses melalui teknologi insinerator menghasilkan tenaga sama ada dalam bentuk elektrik dan gas.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan untuk projek pembinaan insinerator itu sudah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) beberapa bulan lalu.

“Kita telah buat keputusan untuk membina satu sistem insinerator di Pulau Redang.

“Isu-isu berkaitan dengan tanah juga telah selesai, sekarang ini dalam proses pelaksanaan. Dengan adanya insinerator, kita tidak lagi perlu membawa sampah dari Pulau Redang ke daratan (tanah besar) seperti yang dilakukan sekarang ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Katanya, ketika ini semua proses kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah selesai cuma menunggu kontraktor untuk membina fasiliti itu.

“Kita jangka ianya akan dilaksanakan dalam sebulan dua lagi, kita tidak mengira sangat tentang penjimatan, yang lebih penting adalah untuk menyelesaikan isu sampah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan pembinaan insinerator tersebut akan memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Yang lebih penting adalah sikap pengguna di pulau termasuklah pelancong atau penduduk tempatan.

“Kalau pihak-pihak ini tidak dapat bersikap lebih berdispilin, pembinaan insinerator tidak membawa apa-apa makna,” katanya.