lightning-solid
Berita :
INSTEP Rai 73, Perkukuh Tenaga Mahir Tempatan
INSTEP Rai 73, Perkukuh Tenaga Mahir Tempatan
Noraini Jusoh
24 Jul 25
181

KUALA NERUS, 27 Julai - Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) meraikan kejayaan 73 graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024, di Dewan Sri Gelam, INSTEP di sini. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Ts. Azhar Ahmad berkata, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan. 

"Dengan sokongan rakan strategik seperti Aset Semenanjung Malaysia (PMA), Aset Sarawak (SKA) dan Aset Sabah (SBA), kami terus melabur dalam modal insan sebagai pemacu pertumbuhan industri masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, program TEP Plus merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri. 

"Sepanjang program, peserta mengikuti latihan menyeluruh yang merangkumi pembelajaran campuran (blended learning), temuduga berasaskan kompetensi, lawatan ke loji serta bengkel teknikal bertaraf industri.

"Antara bidang yang ditawarkan pada ambilan kali ini ialah Pengeluaran, Instrumentasi, Elektrikal dan Mekanikal, selari dengan keperluan sektor tenaga masa kini," ujarnya.

Menurut Azhar, program selama 18 bulan itu ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang melibatkan seramai 73 peserta iaitu dari PMA (43 orang), SKA (20 orang) dan (10 orang).

"Para graduan turut menjalani latihan praktikal prasarana latihan di INSTEP, termasuk Loji Latihan Huluan dan Hiliran (Upstream Downstream Training Plant - UDTP), selain sesi pembelajaran dalam kelas dan bengkel," katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi memperkukuh daya saing, peserta turut memperoleh sijil kompetensi yang diiktiraf industri seperti Authorized Entrant and Standby Person (AESP), Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training (BOSIET) dan OPITO: Basic Hydrogen Sulfide (H2S) Training.

"Pelatih dalam bidang Elektrikal dan Instrumen pula menerima pensijilan IECEX (International Electrotechnical Commission System for Certification to Standards Relating to Equipment for Use in Explosive Atmospheres) yang melengkapkan mereka dengan kemahiran bekerja di persekitaran berisiko tinggi," ujarnya.

Tambah beliau, selain latihan teknikal, TEP Plus turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik dan pembinaan karakter.

"Iaitu dengan penyertaan peserta dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti kejohanan sukan, persembahan bakat, program pengurusan impak sosial termasuk aktiviti pembersihan pantai bersama komuniti setempat, serta program kerohanian dan motivasi seperti kelas al-Quran bagi pelatih beragama Islam," ujarnya.

Katanya, TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dalam membangunkan bakat teknikal yang berdaya saing, selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan ketahanan industri tenaga negara.


Artikel Berkaitan