Berita :
Institusi Keluarga Goyah Undang Masalah Sosial, Pemangku Raja Terengganu Zahir Kebimbangan
Institusi Keluarga Goyah Undang Masalah Sosial, Pemangku Raja Terengganu Zahir Kebimbangan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
98

KUALA TERENGGANU, 20 April – Ketidakseimbangan institusi keluarga boleh membawa kepada pelbagai masalah sosial dan perlu diberi perhatian serius dalam usaha membina masyarakat yang sejahtera di Terengganu.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, cabaran semasa seperti isu keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan menuntut perhatian semua pihak.

Menurut baginda, institusi keluarga yang utuh menjadi tunjang utama kepada kesejahteraan sosial, ekonomi dan psikologi masyarakat.

“Institusi keluarga yang utuh berfungsi sebagai jambatan interaksi yang sangat penting untuk memastikan kesejahteraan mental, pencegah kepada masalah sosial dan melahirkan golongan belia yang berkualiti,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di sini, hari ini.

Sehubungan itu, baginda menarik perhatian bahawa Indeks Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2024 di bawah subkomposit sosial mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam masa sama, baginda turut menyentuh cabaran kemiskinan yang masih menjadi isu utama di negeri ini meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Titah baginda, Purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negeri meningkat daripada RM2,751 pada tahun 2022 kepada RM2,841 pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 3.23 peratus.

Menurut baginda, peningkatan tersebut menggambarkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat susulan inflasi semasa.

Walau bagaimanapun, kadar kemiskinan mutlak di Terengganu menunjukkan perkembangan positif apabila menurun daripada 6.2 peratus pada tahun 2022 kepada 4.8 peratus pada tahun 2024.

Perkembangan itu, titah baginda, mencerminkan keberkesanan dasar serta inisiatif yang digerakkan kerajaan negeri.

“Beta mengharapkan usaha berterusan ini dapat diteruskan bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dan terus dibelenggu kemiskinan,” titah baginda.

Selain itu, baginda turut menegaskan bahawa aspek perumahan juga menjadi elemen penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Menurut baginda, kerajaan negeri telah membina sebanyak 12,559 unit Rumah Mampu Milik di Terengganu sejak 2018 hingga Januari 2026, manakala 3,798 unit lagi masih dalam perancangan.

Namun, baginda bertitah indikator perumahan dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat menunjukkan penurunan sebanyak 1.9 peratus pada tahun 2024 berbanding 2023.

Keadaan itu, titah baginda, antaranya berpunca daripada kemampuan pemilikan rumah yang semakin terhad serta ketidakseimbangan antara penawaran dan keperluan isi rumah B40.

Baginda berharap usaha berterusan dalam menyediakan kediaman yang lebih selesa dan mampu milik akan terus dipertingkatkan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat dalam jangka panjang.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan