KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Kerajaan Terengganu secara rasmi melancarkan Projek Rintis Struktur Tiang Pintar 5G Intelligent Pole (IP) pertama bagi negeri itu, di pekarangan Pasar Kedai Payang, hari ini.
Projek kerjasama antara kerajaan negeri bersama Colla Connecting Edge Sdn. Bhd.(CCE), merupakan satu inisiatif strategik berkaitan Infrastruktur Digital Pintar di bawah kerangka Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu 2040 bertujuan memodenkan infrastruktur bandar melalui integrasi teknologi pintar dan ketersambungan digital negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pelaksanaan struktur pintar yang dirasmikan hari ini merupakan manifestasi kerajaan negeri untuk mengembangkan pendigitalan dan memperkukuhkan infrastruktur strategik dan membina ekosistem bandar pintar bersepadu.
"Transformasi digital ini mempercepatkan setiap populasi bandar di dunia. Ia bukan sekadar pembinaan infrastruktur fizikal bahkan pembentukan infrastruktur digital yang memperkasakan warga dan meningkatkan kualiti hidup.
"Negeri Terengganu seharusnya tidak ketinggalan dalam hal ini, bahkan kita mesti menjadi pemacu kepada gelombang perubahan ini dengan semua kemuatan dan kelebihan yang ada.
"Pemilihan lokasi di Pasar Payang sebagai pusat warisan dan aktiviti ekonomi komuniti juga menjadi petunjuk bahawa kemajuan teknologi seharusnya memperkukuh identiti tempatan, bukan menghapuskannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pasar Payang, hari ini.

Struktur setinggi 18 meter ini bukan sekadar berfungsi sebagai pencahayaan jalan, malah bertindak sebagai hab integrasi digital.
Tiang-tiang lampu bersesuaian sedia ada dinaiktaraf kepada aset pintar yang dilengkapi dengan sensor Internet of Things (IoT), ketersambungan 5G, dan sistem pemantauan berpusat.
Di antara ciri teknikal utama yang dilaksana dalam fasa ini termasuklah penyamaran peralatan (camouflage) bagi menyembunyikan perkakas telekomunikasi di atas struktur tiang untuk memastikan estetika bandar kekal kemas.
Tiang pintar ini juga dilengkapi dengan paparan pengiklanan digital untuk memaparkan maklumat penting atau pengumuman daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ia turut mempunyai sensor cuaca dan pengesanan pencemaran secara masa nyata.
Bagi fungsi semasa, butang panggilan kecemasan juga terdapat di tiang pintar ini bagi membolehkan rakyat berhubung terus dengan talian perkhidmatan kecemasan dengan pantas dengan pihak berkuasa.
Ciri menarik hab integrasi digital pintar ini juga menyediakan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).