• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

IPD Hulu Terengganu Cipta Bot Amfibia Pertama Di Malaysia

Aidil (tengah) menaiki bot Amfibia Qber bersama  Mohd Adli Mat Daud (kanan) dan Datuk Azizan Abu Taat.
HULU TERENGGANU, 5 Disember- Kreativiti pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu berjaya menjadi perintis penghasilan bot dua alam 'Amfibia Qber' bagi Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, teknologi cetusan idea Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud bagi tujuan penyelesaian kepada terputus hubungan darat semasa banjir melanda daerah tersebut.

Jelasnya, kenderaan itu direka menggunakan inovasi lebih selamat, berfungsi dalam air juga di darat dan dapat digunakan dalam kecemasan menggunakan bahan terpakai.

"Bot ini akan berfungsi untuk menyelamatkan mangsa banjir sebagai balai polis bergerak ketika berlakunya banjir dan perkhidmatan keselamatan mangsa yang terlibat dalam bencana banjir.

"Dengan adanya inovasi ini, saya harap IPD dapat beri khidmat terbaik kerana bot Amfibia memang sesuai dikendalikan dan kita akan buat penambahbaikan jika ada peruntukan yang disalurkan kepada pihak PDRM,"katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bot Amfibia Qber di Kampung Dusun, Kuala Berang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Azizan Abu Taat.

Ketua Polis negeri, Dato' Aidi Ismail 

Sementara itu, Mohd Adli berkata, cetusan idea itu datang apabila mereka tersekat akibat banjir yang melanda pada 2016.

"Kami terpaksa bermalam di salah sebuah pusat pemindahan kerana kenderaan polis gagal meneruskan perjalanan bila air makin naik dan kami terputus hubungan.

"Begitu juga pada tahun 2017, sekali lagi alami masalah yang sama membuatkan saya terfikir untuk mencipta sebuah kenderaan dua alam yang mampu mengatasi masalah ini,"katanya.


Tambah Adli, dengan bantuan lapan anggotanya yang diberi nama Team Ambifia Qber, mereka memulakan projek inovasi KIK Amfibia Qber pada 1 November baru-baru ini dan menyiapkannya dalam tempoh sebulan dengan kos keseluruhan RM11,500 dari tabung IPD dan juga sumbangan orang perseorangan.

"Bot sepanjang 15 kaki dan enam kaki lebar dengan berat bot 1,200 kilogram diperbuat daripada bahan terpakai seperti kerangka besi, pelampung dari batang paip PVC dan enjin motosikal 100cc yang masih boleh digunakan.

"Ia mampu memuatkan lapan hingga sepuluh orang dalam satu masa dengan kelajuan di darat 20 kilometer sejam tanpa had perjalanan dan kelajuan di air antara tujuh hingga lapan knot,"ujarnya lagi.

Menurutnya, bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan bot berkenaan, ujian percubaan dijalankan sebanyak empat kali dalam tempoh sebulan sebaik sahaja ia siap.


Tag: