Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Serangan ketenteraan Zionis Israel terhadap Iran yang disangka mampu memecah-belahkan rakyatnya ternyata menjadi pemangkin penyatuan umat Islam sejagat — tanpa mengira mazhab, etnik mahupun fahaman politik.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rancangan Amerika Syarikat dan Israel untuk mencetuskan pemberontakan dalaman di Iran nyata meleset dan memakan diri.
"Amerika dan Zionis menyangka serangan ke atas Iran akan menyebabkan rakyat bangkit menjatuhkan kepimpinan Ayatullah Ali Khamenei.
"Tetapi realitinya, rakyat Iran bersatu, Syiah dan Sunni, Parsi, Arab, Azeri, Kurdis dan Turkuman, fahaman Islamis atau Sekular, semuanya sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air mereka," katanya dalam satu Kenyataan Media di laman sosial rasmi beliau hari ini.
Menurut beliau, sokongan terhadap Iran turut diluahkan secara terbuka oleh tokoh-tokoh besar dunia Islam yang bangkit mengecam kezaliman Israel dan membela solidariti ummah.
"Syeikh Al-Azhar, Syeikh Ahmad Tayyib menyifatkan serangan Israel sebagai satu tindakan kejam, dan mengkritik sikap masyarakat antarabangsa yang hipokrit.
"Bekas Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Ahmad Al-Raisuni pula menyeru umat Islam supaya berdiri di belakang Iran serta mengiktiraf jasa Iran yang sangat besar dalam menyokong dan mendokong perjuangan pembebasan Baitulmaqdis," jelasnya.
Beliau turut menyatakan, suara ulama besar dari dua Tanah Haram dan negara Teluk juga jelas berpihak kepada Iran dalam isu ini.
"Imam Masjidil Haram, Syeikh Yasir al-Duwsiri, mengajak seluruh umat Islam mendoakan Iran agar tetap tabah dan kuat.
"Mufti Oman, Syeikh Hamad al-Khalili sentiasa konsisten dan tidak berganjak dalam isu Palestin menegaskan serangan balas Iran ke atas Zionis Israel menyejukkan hati umat Islam yang lebur akibat kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Gaza," tambahnya.
Jelas beliau, apa yang berlaku bukan hanya sebuah krisis geopolitik, tetapi detik kebangkitan kesedaran kolektif umat Islam terhadap musuh bersama.
"Penyatuan ini bukan lagi retorik.
"Sebaliknya ia adalah bukti bahawa keperitan Iran membawa hikmah besar, iaitu menyatukan ummah dalam menentang kezaliman Zionis Israel," tegasnya.