Jalur Gemilang
Berita :
Islam Bentuk Identiti, Tamadun Melayu Terengganu
Islam Bentuk Identiti, Tamadun Melayu Terengganu
Rohayati Ripin
22 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 11 November – Perkembangan Islam bukan sahaja membentuk pegangan agama masyarakat, malah turut mencorakkan identiti, pemikiran dan tamadun Melayu di Terengganu sejak ratusan tahun lalu.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, pengaruh Islam dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk pemerintahan, perundangan, pendidikan, kesusasteraan, kesenian dan hubungan sosial.

Menurutnya, kesinambungan sejarah tersebut menjadi asas kepada gagasan Islamiah Melayuwiah yang diketengahkan menerusi Pameran Islamiah Melayuwiah bagi memperlihatkan hubungan erat antara Islam dengan perkembangan peradaban Melayu di negeri itu.

“Islamiah merujuk kepada Islam sebagai agama, pegangan dan panduan kehidupan, manakala Melayuwiah pula merujuk kepada tradisi serta identiti peradaban Melayu yang dizahirkan melalui bahasa, tulisan, adat, kesenian, persuratan, institusi masyarakat dan sistem pemerintahan.

“Gabungan kedua-dua dimensi ini memperlihatkan bagaimana nilai Islam mempengaruhi dan membimbing perkembangan kehidupan masyarakat Melayu Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Pembukaan Pameran Islamiah Melayuwiah di Serambi Mandalika, hari ini.

Tambahnya, antara bukti penting yang memperlihatkan perkembangan tersebut ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi yang memperlihatkan penggunaan tulisan Jawi serta pengaruh ajaran dan perundangan Islam dalam kehidupan masyarakat pada ketika itu.

Katanya, kesinambungan perkembangan Islam di Terengganu turut dapat ditelusuri melalui manuskrip, tradisi pengajian pondok, sumbangan ulama, institusi Kesultanan dan warisan ketara serta tidak ketara masyarakat Melayu Islam.

“Dalam konteks pemerintahan negeri, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dikenali sebagai Itqan al-Muluk bi Ta‘dil al-Suluk dan diperkenalkan pada 1911 turut memperlihatkan kedudukan Islam dalam asas pemerintahan serta identiti kenegerian.

“Peruntukan berkaitan kerajaan Islamiah Melayuwiah menjadi salah satu rujukan penting dalam memahami hubungan antara Islam, institusi pemerintahan dan tradisi kemelayuan Terengganu,” ujarnya.

Menurut Iskandar, pameran berkenaan turut membawa mesej bahawa sejarah perlu difahami untuk mengenali asal usul peradaban, manakala warisan perlu dihargai bagi memelihara identiti masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memelihara sejarah tidak seharusnya diletakkan di bahu muzium semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama melibatkan kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan dan masyarakat.

Katanya, Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan terus memperkukuh usaha penyelidikan, dokumentasi, konservasi, pameran dan pendidikan warisan supaya khazanah sejarah negeri bukan sahaja terpelihara, malah dapat difahami dan dimanfaatkan generasi akan datang.

“Generasi yang memahami sejarah akan mengenali jati dirinya, generasi yang menghargai warisan akan memelihara identiti bangsanya dan generasi yang mengambil iktibar daripada sejarah akan lebih bersedia membina masa hadapan,” tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan