• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

‘Islam Memimpin’ Diangkat Tema Muktamar

Dato' Seri Abdul Hadi Awang (kiri) menyampaikan anugerah kepada tokoh PAS. Foto - Syaiful Mustafa
KUALA TERENGGANU - Tema Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kali Ke-64 iaitu ‘Islam Memimpin’ jelas menekankan kepimpinan dengan agama sebagai agenda dan teras utama parti.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Malaysia, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, kepimpinan yang dimaksudkan bersyaratkan iman dan sentiasa mentaati Allah dalam ibadah serta amalan diri dan bermasyakat, sehingga memimpin negara.

Alhamdulillah PAS berjaya mempertahankan ciri-ciri parti Islam secara amali yang tidak mampu diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam sejak zaman penjajah sehingga kini.

”PAS sentiasa melakukan penambahbaikan mengikut perkembangan semasa, walaupun pemimpinnya silih-berganti menghadapi cabaran mengikut perjalanan usia PAS sejak ditubuhkan," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sekaligus merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (15 September).

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan betapa pentingnya setiap pendokong PAS untuk terus menerajui agenda penyelesaian Islam bagi membentuk suasana politik baharu dan mencorak masa depan negara, melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Apa yang penting kita menghormati keputusan rakyat dan bersama dengan semua pihak untuk membentuk budaya politik baharu dengan penuh hikmah, bagi membetulkan apa yang salah dan menambah baik apa yang betul,” katanya.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Haji Hashim Jasin, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-64 secara rasminya bermula hari ini, 15 September di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.

Majlis perasmian disempurnakan dengan penyerahan gimik replika Batu Bersurat Terengganu kepada Presiden PAS dan penyampaian anugerah kepada tokoh-tokoh PAS.

SUKTRA Terengganu menyerikan majlis dengan persembahan pentomen berkisarkan semangat juang tanah air.

Muktamar yang diadakan saban tahun ini akan diteruskan sehingga esok, 16 September 2018.



Tag: