• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Islam Mesti Memimpin Demi Perpaduan Yang Adil

MARANG, 23 Januari - Agama Islam hendaklah menjadi tonggak dan memimpin bagi mewujudkan perpaduan yang adil bagi seluruh rakyat lebih-lebih lagi masyarakat majmuk di Malaysia ini.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam mesti memimpin kerana dalam Islam terdapat perhitungan dosa dan pahala bagi setiap perkara.

"Bukan sahaja dalam masalah amalan-amalan ibadah sahaja malah termasuk dalam bidang pentadbiran juga terdapat pembahagian dosa dan pahala.

"Kita lihat bagaimana keluarga Cina boleh hidup dengan aman dan harmoni di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tidak berlaku masalah-masalah perkauman di negeri-negeri ini," katanya pada program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional, di sini, baru-baru ini.

Justeru beliau mengharapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta parti-parti gabungan seperti GERAKAN dapat memainkan peranan untuk mengubah pemikiran pengundi-pengundi bukan Islam.

"Apa yang penting kita manfaatkan gelombang perubahan PRU15 untuk kita tawan kesemua 6 negeri dalam PRN akan datang," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berlainan keesokannya Presiden PAS itu bersama pimpinan utama Perikatan Nasional menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perikatan Nasional di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia, semalam.

Beliau tidak terkecuali turut sama merasai tradisi masyarakat Cina yang menarik iaitu tradisi makanan Yee Sang yang disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.

Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) iaitu Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Ho Chai dan Setiausaha Agung PN YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin selain Setiausaha Agung Pas YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta sayap pemuda dan wanita parti komponen PN.

 

 


Tag: