• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Isteri MB Hadiahkan Kerusi Roda Elektrik Buat Pesakit Hidrosefalus

Halina mendekati Nur Farha Amanda yang menghidap hidrosefalus sebelum menyerahkan bantuan kerusi roda elektrik kepada kanak-kanak itu, di TMpoint, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Zulkifli CW Putra 


Derita pesakit lebihan cecair dalam kepala atau hidrosefalus, Nur Farha Amanda Riduan mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Mohd Razif Abd Rahman, apabila menyumbang kerusi roda elektrik berharga RM3,300 untuk kemudahannya bergerak.

Nur Farha, berusia tiga tahun ditemani ibunya, Norhaida Yaacob, 43, kakitangan TM Kuala Terengganu, menerima sumbangan itu yang disampaikan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, di Pejabat TMpoint Kuala Terengganu, Jalan Sultan Ismail, hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar Telekom Malaysia Negeri Terengganu, Hamidun Ismail.

Norhaida
Norhaida berkata, sumbangan kerusi roda itu sangat mengharukannya dan suami, Riduan Mustafa, 40, berikutan ia amat diperlukan untuk membawa  Amanda yang semakin membesar untuk berulang-alik ke hospital dan urusan di luar rumah.

“Alhamdulillah, syukur dan saya terharu dengan sumbangan daripada isteri pemimpin nombor satu negeri kita. Insya-Allah, kerusi roda ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin  untuk kegunaan Amanda terutama bagi berulang-alik bagi tujuan rawatannya,” katanya.

Menurutnya, anak keempat daripada lima beradik yang dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 6 Mac 2014 itu mula dikesan menghidap hidrosefalus ketika berusia dua bulan serta tidak mampu bercakap dan bergerak sendiri, sekali gus memerlukan bantuan sepenuhnya daripada penjaga.

Katanya, Amanda sudah lapan kali menjalani pembedahan bagi menggantikan tiub khas yang dipasang untuk membuang lebihan cecair serta mengawal pembesaran kepalanya.


“Amanda juga menghidap sawan dan memerlukan ubat yang berterusan bagi mengelak serangan penyakit itu. Selain makan makanan yang lembut dan cairan, dia juga perlu minum susu menggunakan botol khas.

"Selain Amanda, saya dan suami turut perlu memberi sepenuh perhatian kepada adiknya, Nur  Fatiyatuzahra yang berusia dua tahun kerana mengidap sindrom down,”katanya.

Selain Nur Farha dan Nur Fatiyatuzahra, Norhaida yang menetap di Sungai Kerak, Marang juga mempunyai tiga lagi anak lelaki berusia enam hingga 13 tahun.

Tambah Norhaida lagi, Hospital Sultanah Nur Zahirah sudah menjadi rumah keduanya sejak tiga tahun lalu kerana Amanda pernah sehingga empat bulan terlantar untuk mendapatkan rawatan serta masih memerlukan rawatan secara intensif di bahagian neurologi pada setiap bulan serta pediatrik setiap enam bulan.


Katanya, dia redha dengan ujian dikurniakan dua puteri yang  dilahirkan sebagai orang kurang upaya, namun tetap akan menjaga anugerah Allah s.w.t dengan sebaik mungkin dengan sokongan tidak berbelah-bahagi keluarga serta kawan-kawan sekerja.   


Tag: