• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Isu Tapak Pasar Payang 2, Peniaga Diminta Bersabar


KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Masalah kekurangan tapak di Pasar Payang 2 akan diberi perhatian dan diselesaikan sebaik mungkin dengan mempertimbangkan semua aspek agar pendekatan yang diambil menguntungkan dan dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, masalah tapak ini sememangnya daripada awal telah pun dalam makluman semua.

Katanya, ia susulan daripada cadangan asal bangunan Pasar Payang 2 dibina untuk dua tingkat untuk semua peniaga dipindahkan, tetapi kerana bajet tidak mencukupi menjadikan bangunan sementara ini hanya dibina satu tingkat.

"Saya telah berhubung dengan persatuan, isunya berkait dengan tapak peniaga keropok yang asalnya lebih daripada 100 peniaga  dan sememangnya daripada awal masing-masing telah dimaklumkan dari segi tapak peniaga keropok tidak cukup dan  hanya ada lebih kurang 50 tempat sahaja.

“Peniaga-peniaga ini sebenarnya, kita telah berunding di mana sebahagiannya ditempatkan didalam marquee tent iaitu khemah besar yang menempatkan peniaga keropok dan sebahagiannya peniaga sayur,"katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.


Tambahnya, peruntukan setengah juta diberikan oleh kerajaan negeri supaya boleh menempatkan para peniaga yang dari awalnya masing-masing telah bersetuju dengan cara yang telah ditetapkan.

"Akan tetapi setelah bangunan sementara ini siap, timbul ketidakpuasan hati dari kalangan 100 orang ini yang sebelum ini mereka telah diundi secara bebas bagi menentukan psesiapa yang mendapat tapak dalam dan tapak luar.

“Sebahagian peniaga yang ditempatkan diluar ada yang berpuashati dan ada juga yang tidak berpuashati dan ada kalangan mereka memohon kepada peniaga yang mendapat tempat didalam supaya keluar juga berniaga diluar, dan ini merupakan perkara yang tidak munasabah bagi saya," ujarnya lagi.

Ahmad Amzad turut meminta supaya para peniaga ini bersabar kerana apabila bangunan baharu Pasar Payang siap, mereka akan mendapat lot masing-masing.

“Untuk mendapatkan tempat sempurna kena bersabar sedikit kerana bangunan baru apabila siap nanti sudah tentu cukup untuk semua.

"Saya telahpun berhubung dengan Persatuan Penjaja dan mereka telah pun membawa rungutan daripada peniaga ini kepada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),"katanya lagi.

Beliau berkata, terdapat juga permintaan oleh peniaga-peniaga ini supaya mereka dibenarkan berniaga didalam bangunan Pasar Payang 2 yang akan menimbulkan masalah berbangkit dan menambahkan lagi kerumitan.

Amzad turut berharap pihak persatuan dapat mengaturkan perundingan dengan cara yang baik supaya masalah-masalah ini dapat diselesaikan sesegera mungkin.

Tag: