• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Jalan Batu Burok Dan Jalan Serating, Merchang Masih Ditutup Kepada Kenderaan Ringan



Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu memaklumkan tiada mangsa atau keluarga yang dipindahkan ke Pusat Permindahan Banjir sehingga jam 3.30 petang ini walaupun beberapa kawasan sudah dinaiki air.

Antaranya Tok jembal, Kampung Padang Air dan Taman Huda Gong Badak, Kuala Nerus yang mula dinaiki air, kira-kira jam 10.00 pagi tadi.

Manakala Jalan Batu Burok, Kuala Terengganu dan  Jalan Serating, Merchang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Timbalan  Pengarah Operasi APM, Amirsaraudin Zalman, pusat pemindahan banjir hanya akan dibuka sekiranya didapati paras air laut dan sungai melebihi paras berbahaya.

Katanya, sehingga kini belum menerima sebarang maklumat mengenai itu sebaliknya hanya melepasi paras biasa dan berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“JPS sudah pasang kamera untuk mengesan kenaikan air di beberapa sungai sebagai persediaan pelbagai kemungkinan akan berlaku.

“Orang awam tidak perlu cemas, hanya perlu peka dengan arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa," katanya ketika mengadakan sidang media di Bilik Gerakan Banjir di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Amirsaraudin berkata, dia kesal dengan tindakan segelintir individu, bertindak menghebahkan berita dan gambar tanpa kesahihan pihak berkuasa sehingga menyebabkan ramai penduduk dan penguna jalan raya cemas.


“Banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan Pusat Bandar Kuala Terengganu pagi tadi, berpunca daripada air pasang sehingga menyebabkan air hujan terkumpul," katanya.

Tag: