• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Jambatan, Pembetung Atasi Banjir Teluk Kalong Siap 54 Peratus

KEMAMAN, 13 Disember – Projek melibatkan pembinaan jambatan baharu dan pembentung bagi mengatasi masalah banjir di Teluk Kalong mencapai kemajuan 54 peratus.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek di kawasan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong dan sekitarnya itu mempunyai nilai sebanyak RM12 juta yang diluluskan pada Disember 2020.

“Setakat ini, projek itu telah siap 54 peratus dan kita doakan kerja-kerja yang masih berbaki berjalan lancar dan siap dengan sempurna, Insya-Allah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada semalam.

Terdahulu, Ahmad Samsuri melakukan tinjauan projek yang menggantikan jambatan Teluk kalong itu bagi melihat perkembangan terkini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam.

Untuk rekod, projek itu bertujuan bagi mengatasi masalah banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Projek dijangka dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan sekitar Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong kerana saliran sedia ada tidak mampu lagi menampung jika berlaku hujan lebat.

 

 

 


Tag: