• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jambatan Runtuh Belukar Bukit Siap Digunakan

HULU TERENGGANU, 10 Jun - Pembinaan semula sebahagian jambatan menghubungkan Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong, Ajil yang runtuh akibat bencana banjir pada Februari lalu siap dan boleh digunakan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi dapat menyelesaikan ‘embankment’ jambatan sepanjang kira-kira 30 meter.

“Satu keputusan telah dibincangkan pagi ini bersama JKR dan JPS antaranya ‘embankment’ kosnya dianggarkan RM500,000 dibahagian hulu jambatan ini. Pihak JKR juga akan membina lapisan struktur kawalan hakisan Flex-slab atau batu (Armour rock) di sekitar jambatan dengan peruntukan yang sedia ada untuk jangka panjang.

“Pihak JPS juga memohon peruntukan sebanyak RM7 juta untuk jangka panjang bagi memastikan tidak berlaku lagi hakisan,” katanya.

Menurut Dr Mamad, kita mengharapkan peruntukan ini dapat diberikan segera untuk menjaga sungai dari terhakis dan jambatan ini tidak berlaku seperti sedia ada.

“Mudah-mudahan kita dapat menyediakan kemudahan tersebut dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan di jambatan Belukar Bukit, Ajil semalam.

Turut hadir, Mohammad Redzuan Mohammad Mahir,Jurutera Jalan JKR Hulu Terengganu, Pegawai-Pegawai JPS Hulu Terengganu, dan Pegawai Teknikal JKR Hulu Terengganu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, isu jambatan Kampung Belukar Bukit diberi perhatian serius kerajaan negeri.

"Dengan siapnya pembaikian jambatan itu akan memberikan kelegaan kepada penduduk terutamanya pelajar-pelajar sekolah.

“Kejadian bencana banjir Februari lalu memusnahkan sebahagian jambatan ini dan memberikan kesan besar kepada kegiatan harian penduduk yang terpaksa menggunakan laluan yang jauh sedikit untuk ke Kampung Betong,” jelas beliau. 
 


Tag: