• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jangan Benarkan Bersih 5 Berlaku - Khairy

Pergerakan Pemuda UMNO menasihatkan ahlinya supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 5 yang dijadual berlangsung di Dataran Mereka, Kuala Lumpur pada 19 November ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan tersebut boleh mengakibatkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar disiplin parti.

Bagaimanapun, jika mahu menyertai perhimpunan Baju Merah, katanya, Pemuda UMNO tidak menghalang, malah mengingatkan mereka supaya penglibatan itu haruslah mengikut perundangan dan tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan huru-hara.

“Nasihat saya jangan kita timbulkan keadaan yang boleh mencetuskan huru-hara di Pusat Bandaraya  Kuala Lumpur seperti yang pernah berlaku sewaktu Bersih 3 yang lalu, di mana ada anggota polis diserang…kereta polis diterbalikkan.. kedai-kedai dipecah. Adanya tindakan yang keterlaluan yang dilakukan pada waktu dan ketika itu.

“Jadi saranan saya supaya PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak membenarkan perhimpunan Bersih itu berlaku. Perhimpunan Merah itu diadakan sebagai tindak balas dan saya yakin jika tiada perhimpunan Bersih, yang Merah ini pastinya juga tidak akan adakan demonstrasi mereka. Jadi bebannya terletak pada Bersih. Merah ini hanya hendak tunjuk bahawa mereka menentang Bersih…tetapi kalau Bersih tidak buat apa-apa…Merah juga tak buat apa-apa,” katanya di sidang media selepas Majlis Perasmian Program Retreat Pergerakan Pemuda Umno di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat.


Khairy sebelum itu merasmikan Program Memasak Bubur As-Syura Perdana Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Kuala Ping.

Khairy berkata, cara terbaik bagi mengelak sebarang risiko itu ialah PDRM tidak membenarkan perhimpunan Bersih diadakan serta perlu melakukan sekatan jalan di sepanjang laluan perarakan yang dikenalpasti sehingga ke Dataran Merdeka.


Selain itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda UMNO turut mempergiatkan usaha untuk mendaftarkan lebih 100,000 ahlinya sebagai pengundi baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.


Katanya, bilangan yang belum berdaftar itu akan terus menurun dan keahlian baharu akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana inisiatif mendaftarkan ahli baharu itu sudahpun bermula.

Tag: