• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Jangan Bimbang, 'Mek Belara' Beruang Matahari Kini Selamat


KUALA NERUS, 24 Julai - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memaklumkan, beruang betina ‘Mek Belara’ seberat 70 kilogram (kg) yang masuk perangkap di kebun salah seorang peneroka Felda Belara awal pagi semalam tidak mengalami nasib yang sama seperti 'Awang Besol'.

Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini mengesahkan bahawa haiwan liar daripada spesies Malayan Sun Bear atau Beruang Matahari itu dalam keadaan sihat dan telah dihantar ke Taman Negara Terengganu petang semalam bagi membolehkannya hidup di habitat asal yang lebih luas. 

Beliau turut menyatakan, pihak PERHILITAN telah memasang dua lagi perangkap di kawasan sama untuk memerangkap dua ekor lagi mamalia berkenaan.

“Berdasarkan bukti daripada laporan orang kampung, kita mengesahkan ‘Mek Belara’ merupakan salah satu daripada tiga ekor beruang yang dikesan berkeliaran dalam kawasan kebun itu sejak dua minggu lalu dan dipercayai adalah satu keluarga.

“Pihak kami dengan bantuan masyarakat Felda akan memantau keadaan ini sehingga kedua-duanya ditangkap,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Abdul Malek berkata, operasi menjejak seekor lagi harimau di Besol masih diteruskan sebagai langkah keselamatan serta mengesahkan kewujudan haiwan itu sebagaimana maklumat yang diterima daripada orang ramai, baru-baru ini.



Tag: