Jangan Cemar Aidiladha Dengan Sampah

KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan negeri menyeru seluruh rakyat agar menjadikan sambutan Aidiladha tahun ini sebagai peluang untuk menzahirkan nilai sivik dan tanggungjawab bersama terhadap kebersihan seperti yang dituntut oleh agama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengurusan sisa ibadah korban bukan sekadar satu isu teknikal, sebaliknya mencerminkan akhlak dan keprihatinan masyarakat terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.

"Sisa seperti darah, organ dalaman, kulit dan tulang hendaklah dikumpul dan dilupuskan dengan cara yang betul. 

"Ia tidak boleh dibuang ke dalam longkang, sungai atau kawasan awam secara terbuka. 

"Tindakan ini mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengundang risiko kesihatan dan keresahan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial media rasminya sempena sambutan Aidiladha, hari ini.

Menurutnya, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri telah melaksanakan persiapan rapi, kejayaan pelaksanaan ini tetap bergantung kepada kerjasama rakyat.

"PBT di seluruh Terengganu telah bersedia sepenuhnya melalui penyelarasan petugas kebersihan, pelaksanaan jadual kutipan sampah khas serta penyediaan logistik.

"Namun demikian, keberkesanan usaha ini sangat bergantung kepada kerjasama masyarakat.

"Sebagai rakyat yang prihatin, marilah kita bersama-sama memastikan kemuliaan ibadah korban ini tidak dicemari oleh kecuaian terhadap kebersihan.

"Demi memelihara kesucian ibadah serta imej masyarakat yang menjayakannya," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebersihan tapak penyembelihan perlu diberi perhatian serius oleh penganjur ibadah korban, yang disarankan untuk menyedia dan melaksanakan perancangan pengurusan sisa yang sistematik.

"Gunakan plastik kedap bau, sediakan lokasi pelupusan sementara serta pastikan pembersihan menyeluruh dilakukan selepas aktiviti korban selesai," tambah beliau.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menghargai dedikasi petugas kebersihan yang tetap bertugas sepanjang cuti umum bagi memastikan kelestarian persekitaran negeri terus terpelihara.