• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jangan  Ceroboh Perairan Negara Ketika Tengkujuh

 

 

HULU TERENGGANU, 13 September  - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Terengganu  meneruskan pemantauan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing dalam kawasan perairan negara ketika musim tengkujuh ini yang akan berlaku tidak lama lagi.

Pengarahnya, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata ia bagi membendung pencerobohan bot nelayan Vietnam yang berkemungkinan mengambil peluang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora ketika ini.

Katanya, pihak Maritim sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri untuk mengemaskini kes tangkapan yang dilakukan dengan negara Vietnam.

"Kita telah maklumkan bahawa pada musim tengkujuh, bot nelayan asing tidak dibenarkan berlindung di perairan negara.

"Sekiranya dapat permohonan oleh pihak kedutaan Vietnam, ia akan dimaklum pada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Maritim untuk tindakan sewajarnya.

"Sehingga kini pihak kami belum menerima sebarang permohonan dan tangkapan akan dilakukan sekiranya bot Vietnam masuk ke perairan dan mengambil kesempatan dengan alasan berlindung di pulau-pulau terutama Pulau Redang, Perhentian dan Tenggol,"ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas selesai sesi latihan menembak senjata kecil di Lapang Sasar RELA, Kampung Kemat di sini hari ini.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 112 orang warga Unit Keselamatan APMM (MNT) serta 80 orang jemputan daripada pengamal media, pelbagai jabatan atau agensi peringkat negeri dan daerah. 

Tambah beliau, sebagai agensi penguatkuasaan di laut pihaknya telah membuat persiapan sewajarnya untuk pastikan aktiviti pencerobohan dikawal sepenuhnya.

"Kita tidak akan membiarkan penyeludup beranggapan musim tengkujuh adalah musim untuk mereka ‘berpesta’ di perairan negara,” ujarnya lagi.

Dalam pada masa yang sama, APMM turut bersedia menggerakkan aset mereka bagi membantu agensi penyelamat lain dalam menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada awal Oktober.

"Kita sediakan aset yang sedia ditugaskan untuk kes carilamat di laut dan saya ingin nasihatkan kepada  nelayan yang keluar ke laut pada musim tengkujuh supaya berhati-hati dan memakai jaket keselamatan.

"Selain itu, komuniti maritim juga digalakkan membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) ketika ke laut kerana alat ini mampu memendekkan tempoh pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan serta lokasi," katanya.