Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
'Jangan Ganggu PASTI' - ADUN Sura
KUALA TERENGGANU, 19 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, memberi amaran keras terhadap pihak tertentu yang cuba mengganggu atau mempolitikkan institusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Beliau menegaskan bahawa PASTI adalah milik rakyat yang berjasa besar dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“PASTI telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan awal berkualiti dengan kos rendah, terutama di saat sistem pendidikan prasekolah negara menghadapi pelbagai kekangan.
“Setiap sekolah rendah hanya ada dua kelas prasekolah berbanding lima atau enam kelas untuk Tahun Satu, ini jelas menunjukkan kelompongan dalam sistem pendidikan awal kita. PASTI wujud sebagai alternatif untuk mengisi jurang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) kelima belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, disini, hari ini.
Tengku Fakhruddin menegaskan bahawa PASTI menjadi pilihan rakyat kerana beberapa faktor utama.
“Kenapa PASTI menjadi pilihan? Kosnya rendah, silibusnya berkualiti, dan asas agama diajar dengan baik.
“Pelajar yang keluar dari PASTI sudah tahu solat dan doa harian, malah ramai anak-anak orang UMNO pun dihantar ke PASTI kerana kualitinya.
“PAS bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang memperjuangkan keadilan sosial, ekonomi, dan pendidikan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi kisah bagaimana PASTI dibangunkan melalui hasil kutipan derma rakyat.
"Guru-gurunya pula sanggup berkhidmat dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan imbuhan besar.
“Saya sendiri adalah alumni PASTI kampung Kuala Dungun. Institusi ini berjasa besar membentuk generasi yang memahami asas agama dan nilai moral,” tambahnya.
Dalam pada itu, ADUN Sura turut mengecam pihak tertentu yang cuba mempolitikkan pendidikan, termasuk usaha menghalang perkembangan PASTI.
“Jangan sesekali menjolok sarang tebuan, PASTI adalah milik rakyat, dibina oleh rakyat, dan guru-gurunya rakyat negeri ini. Jika PASTI diganggu, kami pemuda-pemuda Islam Terengganu tidak akan berdiam diri,” tegasnya.
Beliau menyeru semua pihak agar meletakkan keutamaan pada pendidikan dan tidak menjadikannya mangsa perbezaan politik.
“Pendidikan awal adalah asas kepada pembangunan negeri, jangan jadikan institusi seperti PASTI mangsa politik sempit, kita semua bertanggungjawab memastikan generasi muda negeri ini mendapat pendidikan terbaik,” katanya.