• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’

MARANG, 9 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan semua pihak agar tidak gundah gulana dengan angka 126 yang didakwa boleh meruntuhkan kerajaan Persekutuan sedia ada.

Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sendiri tidak mengetahui hujung pangkal angka tersebut sehingga boleh menimbulkan keresahan pihak tertentu.

“Saya tidak tahu daripada mana datang nombor itu jadi tak saya pun tak boleh komen lebih sebab tak tahu hujung pangkal.

“Tapi pada saya ini adalah satu perkara biasa, sejak 10-15 tahun dulu kita dah dengar perkara seperti ini, kejadian 16 September, mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan pelbagai lagi dakwaan.

“Jadi tak kan lah bila kita dengar perkara serupa pada waktu ini kita gundah gulana dan sedih,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini.

Beberapa hari lalu tular angka 126 yang dibayangkan sebagai akuan bersumpah (SD) 126 ahli parlimen untuk menyokong Perdana Menteri baharu.

Ia mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dan penyokongnya yang rata-ratanya risau jika benar.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada sebarang usaha digerakkan Perikatan Nasional (PN) bagi mengumpul SD Ahli Parlimen untuk menukar Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, tumpuan dan istiqamah PN adalah menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.


Tag: