• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Jangan Kibar Bendera Israel'

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober- Orang ramai di negeri ini dinasihatkan supaya tidak mengibar bendera Israel yang boleh mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan atau memainkan isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular di media sosial berkenaan gambar bendera Israel yang dikibarkan di sebuah premis perniagaan di Terengganu sejak Khamis lalu.

Berhubung kes pengibaran bendera Israel oleh seorang peniaga di Bukit Payong, Marang itu Mazli berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan yang akan diserahkan ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963; Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana melakukan perbuatan dengan niat mengganggu keamanan serta Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

"Siasatan juga mendapati suspek memiliki lima rekod lampau bersabit dadah dan jenayah kekerasan," katanya.