• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Jangan Terperangkap Dengan Budaya Politik Lama-Dr Sam

KUALA TERENGGANU, 27 November- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berpendapat, negara mahupun negeri tidak boleh bergerak ke hadapan sekiranya parti-parti politik masih lagi terperangkap dengan budaya politik lama.

Katanya, sekiranya parti-parti politik yang ada tidak ‘update’ dengan perkembangan semasa dan masih lagi mengekalkan cara lama seperti politik permusuhan, kata mengata, fitnah dan sebagainya, mereka masih terperangkap dengan zaman itu.

“Sebab itu saranan saya kita mencuba sebaik mungkin bagi pihak PAS untuk membawa budaya politik baru.

“Soal ‘lawan’ kita yang masih lagi hendak peteh kaki itu kita hadapi je lah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi pembentangan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai gerak kerja kempen, beliau yang juga calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menegaskan tetap mengambil langkah cermat sepanjang tempoh berkempen.

“Saya sendiri tak pergi berkempen ke tempat-tempat yang sensitif seperti masjid, kedai makan dan lain-lain lokasi yang boleh dikategorikan salah di bawah akta pilihan raya,” katanya.

Tambah Ahmad Samsuri, berbaki beberapa hari lagi tempoh berkempen, beliau optimis dengan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN-PAS) mampu meraih kemenangan lebih besar pada PRK Kemaman 2 Disember ini.