• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Jaringan Akhir Maybank Nafi Cengkaman THT

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pasukan hoki Terengganu (THT) gagal merampas kedudukan teratas Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila sekadar seri 2-2 dengan pendahulu, Maybank pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini hari ini.

Beraksi dalam suasana hujan lebat, kelebihan bermain di halaman sendiri tidak berjaya dimanfaatkan pasukan apabila pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan.

Tuan rumah terlebih dahulu mencetak gol menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari, hasil hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-17 untuk THT mendahului 1-0.

Maybank yang bermain secara selamat sejak awal perlawanan cuba mencipta rangkaian serangan bagi menyamakan kedudukan.

Hujan semakin lebat menyebabkan permukaan padang semakin licin dan menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan serangan.

Pada minit terakhir separuh masa pertama, Maybank berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Izham Azhar untuk kedudukan terikat 1-1 sebelum permainan dihentikan.

Bersambung babak kedua, Mohd Fitri Saari hampir meletakkan THT kembali di depan seawal permainan dimulakan, bagaimanapun pukulan derasnya berjaya ditampan penjaga gol Maybank, Muhammad Aidil Md. Shah.

Tuan rumah meningkatkan momentum serangn memasuki suku terakhir perlawanan untuk mencuri tiga matadalam perlawanan tersebut.

Pada minit ke-51, pertahanan Maybank Muhammad Syawal Abd Razak dilayangkan kad kuning memberi peluang THT menggandakan asakan.

Tiga minit kemudian, hantaran lintang Syarman Mat Tee disudahkan Fitri dengan satu pukulan deras menewaskan Muhammad Aidil.
 

Berbaki enam minit, THT cuba memperlahankan permainan dalam cuaca hujan yang semakin lebat.

Namun, ketika perlawanan hampir menjadi milik The Turtle, Maybank berjaya mencetak gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan, hasil jaringan pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan teratas liga itu berkesudahan seri 2-2 dengan kedua-duanya berkongsi sepuluh mata dan Maybank kekal di tangga teratas di atas kelebihan perbezaan jaringan.

 

 

 

 


Tag: