Jawatankuasa Khas Perkasa Garis Panduan Syariah

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Kerajaan negeri bakal menubuhkan jawatankuasa khas dalam usaha memperkasa garis panduan syariah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jawatankuasa khas itu bukan sahaja akan membuat semakan semula terhadap Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan negeri tetapi juga menyelaras pelaksanaan dan isu-isu berbangkit.

“Selepas lima tahun, kita akan semak semula garis panduan ini bagi menambah baik beberapa aspek termasuk penguatkuasaan dan pematuhan terhadap syariat Islam.

"Oleh itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan penganjuran bengkel yang melibatkan pelbagai pihak di mana Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) diberi tanggungjawab untuk menyelia semakan semula garis panduan berkenaan bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan,” ujarnya pada sidang media di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas lanjut katanya, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) dan beberapa agensi berkaitan akan turut sama dalam proses semakan semula garis panduan berkenaan.

Katanya, semakan berkenaan juga akan mengambil kira semua aspek termasuk kesesuaian dan keadaan masyarakat berbilang kaum serta budaya di Terengganu.