• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jawatankuasa Masjid Jangan Kedekut - Ridzuan Hashim

Ridzuan Hashim 

KUALA NERUS, 13 November - Kerajaan negeri menasihat jawatankuasa masjid di seluruh Terengganu supaya tidak kedekut membelanjakan wang sumbangan orang ramai demi menjaga imej institusi agama itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, mereka tidak perlu menunggu peruntukan disalurkan dalam menyemarakkan gerak kerja pengimarahan jika wang berkenaan dapat menampung keperluan mewujudkan persekitaran yang selesa kepada jemaah.

"Secara umumnya kita tidak nafikan, mungkin keadaan itu ada berlaku jadi kita sentiasa ingatkan kepada jawatankuasa masjid supaya memanfaatkan sumbangan orang ramai sebaiknya.

"Tujuan orang ramai beri duit adalah untuk aktiviti dan sewajarnya digunakan bagi tujuan tersebut. Jangan sesekali merasa bangga dengan jumlah terkumpul sedangkan ia tidak diguna sebagaimana dikehendaki oleh penyumbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menutup Program Perjumpaan Bersama Imam, Bilal dan Jawatankuasa Masjid serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya (Pentadbiran, Kewangan & Pembangunan) Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Azhar Jusoh; Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Hampir 2,000 ahli daripada kedua-dua organisasi akar umbi hadir di majlis perjumpaan yang julung kali itu, bagi memperkukuhkan lagi peranan mereka selepas diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan negeri.


Menurut Ridzuan, pendekatan sedemikian akan diteruskan termasuk turut merancang untuk mewujudkan pertemuan berskala kecil di peringkat Parlimen selepas ini.

"Perjumpaan seperti ini sekali gus boleh menghapuskan jurang perbezaan yang boleh meretakkan hubungan di antara mereka dan sebab itu kita akan teruskan pertemuan di peringkat parlimen,"ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Azhar berkata, isu-isu sosial seperti maksiat misalnya bukan hanya perlu ditangani pihak jabatan agama, sebaliknya menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat untuk bersama-sama menyalurkan maklumat.

"Peranan semua pihak ini dapat membantu JHEAT dalam merangka satu pelan tindakan yang lebih baik supaya apa jua aktiviti akan dapat kita manfaatkan ke arah kesejahteraan rakyat Terengganu," katanya.


Tag: