• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jentera Gotong-Royong, Dapur Rakyat Sedia Berbakti

KEMAMAN, 20 Disember – Jentera gotong-royong dan 'dapur rakyat' daripada pihak kerajaan negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersedia membantu penduduk khususnya di daerah Kemaman kembali selesa di kediaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, skuad itu melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman dan beberapa agensi lain lagi.

“NGO Khidmat Malaysia Terengganu yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia, 4x4, serta pasukan pemuda PAS akan bersama saya dalam membersihkan rumah penduduk seperti di Air Putih pada akhir bulan November baru-baru ini.

“Bermula seawal pagi esok, pihak kami akan gotong-royong membersihkan rumah di sekitar perumahan di Teluk Kalong dan program dapur rakyat akan memasak hidangan untuk lebih 3,500 orang dan 2,000 orang lagi di Kemasik,” katanya kepada pemberita selepas memantau keadaan banjir di sekitar Kemaman.

Mengulas lanjut keadaan semasa banjir di Kemaman, Hanafiah yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Terengganu berkata, banjir di Air Putih mula surut, namun hasil tinjauan 4 pagi semalam mendapati air mengalir masuk ke kawasan Binjai, Kampung Pulau Tempurung, Pasir Minal, Bukit Baru, Kampung Pengkalan Pandan dan sekitarnya.

“Kenaikan air kira-kira satu hingga dua meter menyebabkan 467 keluarga telah dipindahkan ke tujuh PPS melibatkan 1,053 orang, manakala banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, air mula surut terutamanya di kawasan Teluk Kalong.

“Saya jangkakan dalam dua atau tiga hari lagi sebahagian mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing di mana pihak kami akan turun padang membersih sama rumah-rumah yang terkesan," tambahnya lagi.

Mangsa di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) pulang mengambil barang sejak air surut

Berdasarkan laporan terkini Sekretariat JPBN Terengganu setakat jam 12 tengahhari, jumlah mangsa yang dipindahkan di Kemaman melibatkan 1,544 keluarga terdiri daripada 6,282 mangsa yang ditempatkan di 29 PPS di seluruh daerah.