• 19 Sept 2020 | 1 Safar 1442

Jentera PAS Sedia Bantu PRN Sabah Walaupun Tidak Bertanding

KUALA TERENGGANU, 12 September - PAS tetap bersedia menggerakkan jentera parti itu bagi membantu calon Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Pengarah Institut Strateginya, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia bagi memastikan kemenangan calon MN dan PN walaupun tidak diperuntukkan sebarang kerusi dalam pilihan raya itu.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kemenangan PN di Sabah sekaligus pentadbiran Sabah kelak seiring dengan pemerintahan di peringkat Persekutuan dan memudahkan urusan membawa mesej kepada rakyat.

“PAS akan memastikan kemenangan mana-mana calon bertanding walau daripada parti mana sekali pun asalkan mereka bersama MN dan PN.

“Jadi PAS akan tetap turun padang malah saya sendiri di samping semua menteri, timbalan menteri dan wakil-wakil rakyat diarahkan membantu semaksimum yang boleh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dipertandingkan dalam PRN kali ini berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, Julai lalu.

Mohd. Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut berkata, tugasan turun padang akan diketuai jentera PAS Sabah manakala bagi jentera di Semenanjung perincian lanjut akan dibincangkan dalam masa terdekat.

Kelmarin, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk tidak menyertai PRN Sabah bagi memberi laluan kepada rakan-rakan MN dan PN demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa depan.

"Keutamaan PAS adalah untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat di samping mengukuhkan kerjasama dalam MN dan PN," ujarnya.