KUALA TERENGGANU, 17 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor menggesa agar penguatkuasaan enakmen garis panduan hiburan yang mematuhi syariah Islam perlu dipertingkatkan.
Beliau berkata, langkah itu penting susulan peningkatan penganjuran acara melibatkan kumpulan seni, muzik dan artis yang dikhuatiri boleh menyumbang kepada perkembangan unsur hedonisme dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, pembangunan industri pelancongan perlu terus dirancakkan bagi menjana ekonomi rakyat dan negeri, namun pada masa sama perlu dilaksanakan dengan kawalan yang bersesuaian.
"Islam tidak melarang untuk berhibur, bahkan Terengganu ada elemen kawalan hiburan. Tetapi kalau kita perhati setahun dua ni telah rancak masuk kumpulan-kumpulan seni, kalau muzik, artis-artis dan nampak tuan-tuan, begitu membaja sekali unsur-unsur hedonisme di kalangan anak-anak muda.
"Jadi, tuan-tuan, kita kena letakkan satu garis panduan yang ketat kepada penganjur agar mereka patuh dengan enakmen kawalan hiburan," katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dr. Riduan berkata, kerajaan perlu memastikan enakmen sedia ada bukan sekadar menjadi peraturan, sebaliknya dilaksanakan menerusi pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan terhadap setiap penganjuran acara.
Ulasnya, tanggungjawab tersebut penting bagi memastikan usaha memajukan sektor pelancongan tidak bercanggah dengan prinsip serta nilai yang menjadi pegangan negeri Terengganu.
"Kita nak supaya industri pelancongan menjana ekonomi rakyat kita, menjana ekonomi kerajaan kita, rakyat rasa seronok, rasa gembira tuan-tuan, namun di sebaliknya terselit juga rasa kebimbangan apabila dimasukkan sekali dengan budaya hedonisme melalui pelbagai acara yang diadakan.
"Sebab itu Jerteh menyarankan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk kita mengawal, menyelia pelbagai acara yang diadakan, yang kita difahamkan 17 acara besar dan 100 acara sampingan lain yang akan diadakan," tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran TMT 2027 perlu memperlihatkan Terengganu bukan sahaja sebagai destinasi yang mempunyai keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian produk pelancongan, malah negeri yang mengekalkan identiti serta budaya masyarakatnya.
"Jadi kita nak supaya Kerajaan Terengganu untuk Tahun Melawat Terengganu 2027 kita pantau, kita kawal dengan baik, kita nak orang luar kenal Terengganu sebagai negeri orang beriman, tempat orang baik, budayanya menarik dan cantik, insya-Allah," ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dalam konteks yang sama berkata, penguatkuasaan terhadap pelanggaran garis panduan berkenaan perlu dilaksanakan secara serius dan tidak hanya terhenti kepada amaran atau ugutan menerusi media.
"Isu berkenaan dengan penganjuran acara-acara yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mohon pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas, bukan sekadar ugutan media semata-mata," katanya.