• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

JHEAT Buka Ruang Inovasi Baru Pelupusan Al-Quran

KUALA TERENGGANU, 3 September- Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membuka ruang kepada mana-mana institusi dan agensi di Terengganu mahupun luar bagi mengemukakan inovasi baru dalam kaedah pelupusan al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Pnenerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bagaimanapun berkata, pihaknya sedang membincangkan satu kaedah baru pelupusan untuk menjaga kesucian al-Quran itu sendiri, namun dalam masa yang sama dapat menjaga alam sekitar dan memberikan manfaat yang baru kepada rakyat.

Mohd Nor Hamzah.

"JHEAT dan agensi-agensi berkaitan sedang berbincang untuk memperkenalkan satu inovasi baharu bagaimana untuk kita gunakan mushaf al-Quran yang rosak setelah dijadikan abu untuk memberikan kebaikan kepada orang ramai. Jabatan Mufti turut bersama saya dan kami dalam peringkat perbincangan, yang pasti tujuan utama ialah untuk memperkenalkan kaedah baru pelupusan al-Quran ini.

"Hari ini kita buang sahaja kiub abu al-Quran ke tengah laut untuk diuraikan, jika ada manfaat lain yang boleh digunakan tetapi tidak menjejaskan kemuliaan mushaf itu sendiri, samada dalam perbincangan ini, boleh atau tidak dikitar semula untuk dijadikan kertas-kertas baru dan apa sahaja. JHEAT sedia memberi ruang itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Pelupusan Kiub Abu al-Quran Ke Laut Kali kedua di perairan Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Nik Zulhaiza Ismail; Ketua Hakim Mahkamah Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.  

Turut hadir daripada agensi berkaitan ialah Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Wan Endok Wan Salleh; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Negeri Terengganu, Muhamad Khairul Ismail serta wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Alwi Ramli.

Dalam program kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur itu, kira-kira tiga tan kiub abu al-Quran dilupuskan ke laut.

Menurut Mohd Nor lagi, program pelupusan al-Quran lama dan rosak telah dimulakan JHEAT sejak tahun 2011, dengan cara berbeza. Namun, pada 2016, satu inovasi yang diperkenalkan untuk membentuk kiub-kiub debu al-Quran.

"Dalam erti kata lain, JHEAT menyediakan relau, membakar sisa cebisan al-Quran yang rosak sehingga dibekukan dalam bentuk kiub dan di bawa ke laut untuk dilupuskan atas asas menghormati al-Quran dan keduanya menjaga persekitaran.

"Setakat ini, kita hanya ada dua relau di ibu pejabat JHEAT, kita kalau boleh nak tambah kerana itu usaha yang baik untuk menjaga penghormatan al-Quran. 

Mohd Nor bersama wakil agensi-agensi terlibat dalam program pelupusan al-Quran. 

"Saya juga memohon jasa baik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu agar dapat membekalkan JHEAT tambahan relau yang bernilai RM16,000 setiap satu, kita cadangkan satu di kawasan Besut-Setiu dan satu di Kemaman-Dungun," katanya.

Jelasnya mushaf-mushaf yang terbiar dan tidak lagi digunakan sudah terlalu banyak dan usaha itu menjadi keperluan utama bagi mengelakkan mushaf yang ada di masjid dan rumah-rumah akhirnya dibiarkan menjejaskan kemuliaan al-Quran itu sendiri.

"Data 2020 sahaja menunjukkan mushaf-mushaf al-Quran rosak yang dikumpulkan lebih kurang sebanyak 18,350 kilogram," tambahnya.

 

 


Tag: