• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

JKM Terengganu Terima Peruntukan RM2 Juta Persediaan Hadapi Banjir

MARANG, 10 Oktober - Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Terengganu menerima peruntukan RM2 juta sebagai langkah persediaan bagi menghadapi bencana banjir  yang dijangka berlaku pada November ini.

Pengarahnya, Mazura Ngah Abd Manan, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.5 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri pula menyalurkan sebanyak RM500,000.

Katanya, sebanyak 580 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dikenal pasti untuk dibuka bagi menampung mangsa-mangsa bencana apabila ia berlaku nanti.

"Kita sekarang juga dalam rangka mengagihkan keperluan-keperluan bencana di semua 17 mini depoh dan Pengkalan Hadapan,  manakala untuk barangan ke pulau-pulau dan kawasan pedalaman pula akan digerakkan pada 17 Oktober ini.

"Dijangka pada akhir bulan ini kita akan selesai menghantar segala barangan keperluan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas melakukan tinjauan proses vaksinasi Covid-19 kepada 30 penghuni Sekolah Tunas Bakti Marang dan 18 Penghuni Asrama Akhlak Rusila, di sini, pada hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Mazura berharap agar segala operasi di PPS akan berjalan lancar dengan mematuhi Garis Panduan Pengurusan PPS semasa Covid-19 sebagaima telah ditetapkan Agensi Penurusan Bencana Negara (NADMA) bermula tahun lepas.

"Tanpa ada sebarang risiko jangkitan Covid-19 kerana semua pihak yang terlibat telah mempunyai pengalaman menguruskannya dan sudah pasti pelaksanaanya akan bertambah baik pada tahun ini," ujarnya lagi.


Tag: