• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JKNT Kenal Pasti Punca Keracunan Makanan di RNR Perasing

KUALA TERENGGANU, 8 Januari –Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesan wujud pelanggaran dalam etika pemakanan sehingga berlaku kes keracunan makanan yang meragut nyawa seorang wanita berusia 54 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah menjalankan siasatan terhadap premis yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan isu ini. 

Katanya, beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan.

"Keputusan makmal menunjukkan wujud pelanggaran dibawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan tindakan perundangan sedang diambil ke atas peniaga yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambah Kasemani, JKN Terengganu juga menasihati para pengusaha dan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan dan keselamatan makanan minuman yang dijual.

Di samping, memastikan makanan disediakan adalah bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan kepada pelanggan khususnya dan orang ramai amnya. 

“Tindakan perundangan termasuk pendakwaan ke mahkamah akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan.

“Sehingga menyebabkan makanan yang dijual kepada orang ramai tercemar oleh bahan atau bakteria, virus dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih dan pengendali makanan yang beretika. 

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’ sebelum membuat keputusan membeli makanan dan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi rosak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: