• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JKSTR Bangunkan Inovasi Penyampaian Lebih Berintegriti

KUALA TERENGGANU, 22 November- Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSTR) mengambil beberapa inisiatif dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan yang penuh dengan integriti. 

Ketua Hakim Syarie negeri, Dato’ Wan Mohd. Zakri Wan Mohd berkata, selain mendokumentasikan Buku Pelan Anti rasuah Organisasi (OACP) JKSTR 2022-2026 pihaknya telah mengambil pendekatan membangunkan inovasi bermula tahun 2012.

Katanya, dengan memsistemkan proses kerja, faktor kelalaian dan kecuaian oleh ‘human factor’ boleh diatasi bagi mengoptimumkan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Bidang perkhidmatan yang wujud di jabatan ini bermula daripada peringkat awalan di pendaftaran kes, Majlis Sulh, sebutan kes, perbicaraan, semakan kes dan rayuan. 

“Malah di peringkat pentadbiran sekalipun, kami mempunyai cabaran yang tersendiri dalam memartabatkan dan menghayati integriti. 

“Apa-apa keputusan mahkamah perlulah dijaga dari sudut kualiti dan keberkesanannya  bagi memastikan setiap keputusan berkenaan telah dibuat tanpa dipengaruhi unsur yang mempunyai konflik kepentingan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Hari Integriti Dan Pelancaran Buku Kompilasi Inovasi dan Kreativiti JKSTR Tahun 2012-2023 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Bangunan Mahkamah Syariah, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, buku Kompilasi Inovasi Dan Kreativiti 2012-2023 tersebut mengumpulkan kejayaan 10 Kumpulan yang membangunkan 11 projek bagi memantapkan teras penyampaian perkhidmatan sehingga ke peringkat dunia selaras dengan cogan kata “Syariah World Class”.

“Inovasi-inovasi ini juga sebenarnya merupakan satu alat untuk JKSTR kekalkan dan memaksimakan integriti dengan mensistemkan penyampaian perkhidmatan sepenuhnya sebagaimana hala tuju Pelan Strategik JKSTR 2019-2023,” ujarnya.

Tambah beliau, menerusi inovasi yang dibangunkan Kumpulan Fountain Of Justice, JKSTR juga telah memenangi Gold Award di peringkat Antarabangsa dalam International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) yang diadakan di Beijing, China baru-baru ini.