• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JPBN Akan Selaras Operasi Pembersihan Pasca Banjir

KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan menyelaras operasi pembersihan pasca banjir di kawasan-kawasan terkesan negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, tindakan pasca banjir meliputi bantuan pembersihan kediaman dan tempat-tempat awam, aktiviti pembersihan sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) serta tindakan pemulihan perkhidmatan asas.

“Apabila situasi banjir mulai surut di beberapa kawasan yang memerlukan tindakan pasca banjir, sebagaimana biasa semua agensi terlibat bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

 “Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut di arah untuk bersiap siaga, di peringkat urusetia kita akan mengatur semua pasukan untuk kerja-kerja pembersihan terutamanya di permis kerajaan termasuk sekolah, pejabat dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau operasi Bilik Gerakan Bencana Negeri, hari ini.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, proses penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika ini turut berjalan lancar.

“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan mangsa banjir tidak menerima bantuan makanan dan sebagainya, jadi dari segi bekalan makanan tidak ada masalah,” ujarnya.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, setakat pukul 12 tengahari ini, jumlah mangsa yang masih berada di PPS menurut kepada 8,732 berbanding 10,643 mangsa tengahari semalam.

Manakala 98 PPS masih dibuka bagi menampung 2,503 keluarga di  semua daerah negeri ini.