• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

JPKK Agih 260 Bungkusan Ikan Kepada Penduduk

BESUT, 7 Februari - Cakna akan derita rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Air Tawar mengagihkan 260 bungkusan ikan selayang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ramai yang terjejas pendapatan dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, tukang gunting rambut dan peniaga pasar malam.

"Semalam kita menghantar ikan menggunakan motosikal berbekalkan 'storage bag' supaya perjalanan lebih lancar masuk ke pelusuk kampung.

“Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas menghantar sumbangan ikan selayang.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Air Tawar, Nik Mazli Mat Yusoff memberitahu, bagi tujuan itu pihaknya mengumpul dana sendiri untuk disumbangan kepada penduduk Air Tawar.

"Terima kasih kepada Tengku Harun selaku Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini," jelasnya.