• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

JPKK 'Berkampung' Bantu Ibu Tunggal

DUNGUN, 17 Januari - Kerja baik pulih rumah milik Zainab Abdullah, 64 tahun, dilakukan segera selepas kediamannya musnah ditimpa sebatang pokok akibat angin kencang.

Zainab, seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungjawab terhadap lapan orang anak, kini menghadapi cabaran yang besar kerana rumahnya kini memerlukan pembaikan segera untuk memastikan keluarga itu dapat kembali hidup dengan aman dan selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerja pembersihan kawasan rumah tersebut segera dilakukan setelah menerima laporan daripada 'Group WhatsApp' Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paka sejurus kejadian berlaku.

"Kerja ini perlu dilakukan segera kerana bimbang cuaca hujan yang sedang melanda di kawasan kita.

"Kita berdoa agar keluarga Zainab diberi kekuatan untuk menghadapi cabaran ini kita akan menyediakan bantuan secepat yang mungkin dan memastikan mereka dapat kembali ke keadaan normal dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat di rumah berkenaan sejurus menerima laporan tersebut.

Dalam insiden tersebut, tiada kecelakaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, namun rumah yang mereka tempati mengalami kerosakan akibat tumbangnya pokok berdekatan.

"Kita bersyukur kerana tiada kemalangan yang lebih serius berlaku. Saya turun padang hari ini untuk melihat sendiri keadaan dan memastikan bantuan segera disalurkan kepada Zainab dan keluarganya.

"Kita berharap kerja-kerja baikpulih dapat diselesaikan dengan lancar dan keluarga Zainab dapat kembali ke kehidupan normal mereka dengan segera.

"Penduduk kampung yang lain juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan, terutama ketika berhadapan dengan cuaca buruk ketika ini," nasihatnya.

 

 


Tag: