• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD

BESUT, 24 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersiap sedia membantu golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, PKPD selama dua minggu di kawasan terbabit menyebabkan ada golongan yang terputus bekalan makanan.

"Beras MyGAP Ganu akan disalurkan untuk warga Jabi yang kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu PKPD.

"Ada orang kita yang berkemampuan dan boleh manfaatkan kelonggaran ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) PKPD untuk keluar beli barangan keperluan harian.

"Tetapi ada orang kita yang walaupun diberi kelonggaran keluar cari bekalan, mereka tak dapat bekerja dan tiada duit, mereka inilah yang kita nak bantu dan wajib dibantu. Bukan beras saja, ada lagi barangan harian lain diberi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan bantuan makanan kepada semua JPKK DUN Jabi, hari ini.

Dr Azman turut menegaskan kepada semua Pengerusi JPKK agar meningkatkan lagi tahap kecaknaan terhadap keadaan rakyat di bawah dalam menghadapi hari-hari sukar ini.

"Kepada yang memerlukan, jangan segan dan malu untuk beritahu kepada 'Tok Ngulu' kita di kampung masing-masing. Beritahu terus kepada saya pun tak mengapa.

"Untuk keluarga yang sedang dikuarantin memang ada dalam senarai kita dan sudah dibantu. Jiran-jiran pun tolong prihatin tentang sesama kita  Biar kita bersatu hati sama lapar dan sama kenyang dalam keadaan susah ketika ini" katanya lagi.