• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JPNT Diminta Selaras Pertukaran Guru, Elak Kekurangan Pada Subjek Tertentu

Ahmad Razif mengagihkan sumbangan duit raya kepada pelajar SMA Dato’ Haji Abas. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kasim

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) diminta  menyelaraskan tugasan guru yang berjaya ditukarkan ke negeri ini agar tidak berlaku pertindihan atau kekurangan guru pada satu-satu subjek tertentu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bilangan guru di Terengganu semakin bertambah, bagaimanapun di sebalik pertambahan itu ada kekurangannya apabila kekurangan guru Bahasa Inggeris yang serius.

“Saya berharap JPNT perlu memikirkan sesuatu bagi mengatasi permasalahan itu, mungkin boleh menghantar mana-mana guru cemerlang mengikuti kursus Bahasa Inggeris atau apa-apa kaedah yang terbaik,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Duit Raya Kepada Anak Yatim dan Anak Keluarga Berpendapatan Rendah di Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Abas, Tok Jiring, Kuala Nerus, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 100 pelajar yang berkelayakan menerima sumbangan duit raya daripada Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria.

Nurul Ezzanie 
Pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, Nurul Ezzanie Jasin, 17, berkata duit raya yang diterima daripada Menteri Besar itu akan digunakan untuk membayar yuran sekolah dan jika ada lebih akan simpan untuk beli barangan keperluan raya.

Katanya, walaupun jumlah tidak besar, tetapi sangat membantu meringankan beban ayah, Jasin Che Chik, 60, yang bekerja sebagai buruh dan ibu Maimun Abdullah, 56, hanya sebagai suri rumah.

“Ayah kadang kala tidak mampu keluar bekerja kerana faktor umur dan kesihatan, duit belanja keluarga kini dibantu abang dan kakak yang sudah berkerja,”kata anak yang ke 11 daripada 12 adik beradik itu lagi.

Ummi Zahrah
Seorang anak yatim, Ummi Zahrah Mohd Zaki, 17, juga berterima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri di atas sumbangan yang diterima itu.

“Saya akan guna duit ini sebaik mungkin untuk keperluan sekolah dan raya,” katanya yang kehilangan bapa akibat jangkitan kuman paru-paru pada usia sembilan tahun.





Tag: