• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JPV Rampas 9,120 Kilogram Karkas Babi

KUALA TERENGGANU, 14 November- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas sebanyak 9,120 kilogram karkas babi dengan membabitkan nilai keseluruhan RM396,240.

Pengarah Veterinar negeri, Dr. Anun Man berkata, karkas babi tersebut berjaya dijumpai hasil serbuan dibuat sepasukan anggota penguatkuasa Veterinar sekitar pukul 3.30 pagi di tepi jalan di Kampung Pak Kancil, Permaisuri, Setiu Khamis lalu.

Menurut beliau, sebanyak 9,120 kilogram (kg) karkas babi bernilai RM246,240 dirampas di bawah peruntukan Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

“Selain 29 kotak mengandungi organ dan 228 keratan babi serta dua dokumen berupa invois dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dan kontena berjumlah RM396,240,” ujarnya dalam sidang media, hari ini.

Anun berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an iaitu pemandu dan kelindan lori turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat terhadap dua lelaki itu menunjukkan mereka dalam perjalanan ke Kuantan dan kami tidak menolak kemungkinan babi ini dibawa masuk dari Thailand,” ujarnya.

Beliau berkata, penguatkuasa JPV Terengganu telah membuat risikan dan membuat pemeriksaan susulan kes rampasan yang sama berlaku di Lembah Klang.

Katanya, kes disiasat dibawah kaedah 5 (3) dimana tiada seorang pun boleh menjual, mempamerkan untuk dijual atau memiliki apa-apa karkas apa-apa binatang yang tidak disembelih di rumah sembelih diluluskan atau dilesenkan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000,” ujarnya.

Menurut beliau, JPV Terengganu memandang serius kes sebegini bagi mengekang penyakit Demam Babi Afrika menular di negeri Ini.

“Jabatan veterinar berharap sebarang pemindahan karkas ternakan perlu mematuhi kaedah-kaedah atau prosedur yang telah ditetapkan oleh jabatan dimana ianya perlu disahkan atau disembelih di rumah sembelih veterinar,” ujarnya.