• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

JTDLKM Beri Penjimatan Sempena Hari Raya

MARANG,9 Julai- Penganjuran Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) membantu masyarakat mendapatkan keperluan harian lebih rendah dari harga pasaran setempat.

Usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dilihat sebagai satu lagi kaedah untuk mengoptimumkan penjimatan kepada masyarakat lebih-lebih lagi pada perayaan Aidiladha ini.

Ketua Pengarah Dato'Zainal Abidin Yang Razali memaklumkan, sempena hari raya Aidiladha yang akan disambut esok, FAMA telah melaksanakan JTDLKM khas di 97 lokasi sejak Khamis lalu.

"Bermula 1 Jun, sebanyak 267 program telah dilaksanakan di dengan nilai jualan terkumpul RM3.1 juta.

"Apabila kita secara purata menawarkan harga sebanyak 10 peratus lebih murah, maka lebihan pendapatan telah dapat dinikmati oleh pengguna.

"Dalam program-program yang dilaksanakan, sebanyak RM316 ribu nilai penjimatan telah dipulangkan semula rakyat," katanya kepada pemberita selepas meninjau JTDLKM di Medan Jaya, Rusila di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.

Jelasnya, di Terengganu sahaja JTDLKM telah dianjurkan di 22 lokasi membabitkan 359 usahawan.

"JTDLKM sebenarnya adalah usaha membantu usahawan untuk memasarkan sendiri produk mereka.

"Selain itu, ia turut membina pasaran setempat secara tetap dalam komuniti tersebut," katanya.

Tambahnya, FAMA menyasarkan kekerapan sebanyak 840 kali penganjuran di 70 lokasi seluruh negara sehingga hujung tahun ini dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM10.5 juta.

 

 

 

 

 

 


Tag: