• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kabinet Putuskan Fokus Masalah Banjir Berbanding PRU

KUALA NERUS, 22 September - Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam telah membuat keputusan untuk mengutamakan masalah banjir berbanding mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan dan kekuatan jentera kerajaan dalam dua situasi berbeza.

"Sebagai contoh jika sebahagian anggota bertindak menjaga peti undi manakala sebahagian lagi mengurus situasi banjir, kita lihat ini tidak sesuai dan menjejaskan kepentingan rakyat.

"Oleh itu, kabinet memutuskan untuk mengutamakan keperluan rakyat atau masalah banjir dahulu, kepentingan rakyat melebihi segala-galanya," jelasnya ketika berucap merasmikan majlis Pra Himpunan Teguh Pertahan 100k di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Namun begitu, menurut Timbalan Presiden PAS itu jika parlimen dibubarkan, parti Islam itu bersedia masuk ke 'medan perang'.

"Kita tidak bersetuju PRU dilakukan pada musim tengkujuh bukan kerana takut, tapi melihat keperluan rakyat yang lebih utama.

"Tetapi jika dibubarkan juga, kita akan masuk berlawan di pilihan raya," tegasnya.


Tag: