• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kadar Kebolehpasaran Graduan Kolej Komuniti Terengganu 94 Peratus

KUALA TERENGGANU, 5 November - Graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kolej Komuniti di Terengganu mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi sehingga mencecah 94 peratus.

Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Ts. Ali Mamat berkata, peratusan tersebut bermaksud kebolehkerjaan sama ada graduan melibatkan diri dalam sektor pekerjaan atau menjadi usahawan.

“Pihak kami sering menjadi ‘Feeder’ iaitu pembekal tenaga dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pemain industri.

“Antaranya seperti pengeluar batik terkenal, Noor Arfa Batek, yang turut menjadi penasihat bagi program Sijil Fesyen dan Pakaian di kolej komuniti kami, jadi ia merupakan situasi ‘win-win’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa temubual di Karnival Mini Usahawan di KTCC Mall, semalam.

Menjelas berkenaan sambutan pengambilan pelajar di kolejnya, beliau memaklumkan kebanyakkan pelajar terdiri daripada anak Terengganu serta kemasukan daripada negeri luar seperti Kelantan sehingga Sabah.

Sementara itu, Ali turut menjelaskan, pelaksanaan karnival usahawan sehingga 7 November di KTCC di bawah program TVETpreneurship (SPK) merupakan satu bentuk pakatan strategik yang melahirkan usahawan yang holistik dengan menitik beratkan proses pemasaran dan jualan.